Friday 21 March 2014

Melayu lagi...


Dipetik dari blog Dr Mahathir Mohammad.

1. Sebelum British menakluki negeri-negeri Melayu, sistem pemerintahan adalah Raja berkuasa penuh. Semua perolehan hasil dan cukai adalah milik Raja. Pembiayaan pemerintahan dan pembangunan diperuntukkan oleh Raja.

2. Banyaklah penipuan berlaku semasa cukai dikutip. Yang didapati oleh Raja biasanya sedikit sahaja.

3. Kekurangan kewangan menjadi masalah kepada Raja. Bagi mengatasinya Raja terpaksa jual atau pajak tanah. Dengan itu wilayah negeri-negeri Melayu merosot dan menjadi semakin kecil.

4. Apabila British mengambil alih pemerintahan negeri-negeri Melayu, cukai dipungut dengan lebih tersusun dan dimasukkan ke dalam Perbendaharaan negeri dan persekutuan.

5. Semua perbelanjaan pentadbiran termasuk political pension Raja, gaji dan elaun pegawai dan kakitangan sehingga ke budak pejabat diurus oleh Perbendaharaan. Keperluan untuk berhutang atau jualan tanah tidak lagi timbul.

6. Pegawai pentadbir Melayu yang mengetuai gerakan untuk Kemerdekaan kagum dengan sistem yang diperkenalkan oleh British. Oleh itu, apabila sistem pentadbiran Malaya merdeka dirancang, mereka memilih demokrasi dengan Raja berperlembagaan dan dewan perundangan (Parlimen) yang dipilih oleh rakyat. Pentadbiran di serah kepada sebuah Kabinet yang terdiri dari pemimpin parti yang menang. Raja tidak lagi berkuasa penuh. Namun tandatangan Raja yang memerintah diperlukan bagi mengesahkan undang-undang. Kuasa ini adalah formal kerana Raja dikehendaki terima nasihat daripada Perdana Menteri atau Menteri Besar. Hanya berkenaan perkara yang melibat diri Raja-Raja sahaja yang Raja berperlembagaan berkuasa.

7. Kepimpinan dalam Kerajaan diberi kuasa hanya untuk pentadbiran negara dan bukan untuk diri sendiri. Tetapi budaya Melayu adalah demikian mereka akan akur arahan ketua-ketua tertinggi tanpa mengambil kira samada arahan mengikuti undang-undang atau tidak. Oleh sebab ini, kuasa orang yang berkuasa menjadi mutlak dan ramailah yang mendekati diri dengan yang berkuasa untuk mengguna kuasa itu untuk kepentingan diri. Untuk tujuan ini biasanya orang-orang ini akan membodek dan menawar pemberian sebahagian dari pendapatan mereka dari perniagaan yang mereka dapat hasil pertolongan pihak berkuasa kepada yang berkuasa. Maka berlakulah rasuah oleh yang berkuasa.

8. Kuasa mutlak, sama ada dianugerah oleh undang-undang atau adat budaya keMelayuan amat merbahaya. Ia akan meningkat ke tahap yang tidak dapat diterima oleh rakyat. Sebelum sampai tahap ini, eloklah pihak berkenaan diberitahu. Janganlah orang yang berkuasa mutlak atau tidak melanggar perlembagaan, undang-undang atau dasar-dasar Negara.


Kepada siapa kah gerangan cerita ini dituju...?

No comments: